Pengunjung Blog ini

Adakah Masa Itu Emas Lagi

Labels

Followers

Halwa Telinga

Tinggalkan Jejak Anda

Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x

Fish

My Hamster

Berita Harian Online

News Online

HINA SANGAT KE BAHASA MELAYU???

Oleh : Al-Azharri Siddiq Haji Kamunri Pada 10:41 AM . Wednesday, July 23

1. Saya teringat Demonstrasi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal tahun 1970-an di Kuala Lumpur dahulu, antaranya marahkan Kerajaan kerana iklan-iklan Bahasa Melayu di Kuala Lumpur ketika itu sangat kurang, yang banyak iklan bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris. Itulah semangat Nasionalis Anwar.

2. Namun, Anwar sebagai Pemimpin De Facto PKR dan kononnya Pemimpin Utama Pakatan Rakyat ( namun kata Dato Seri Hj. Hadi Awang, Presiden PAS ) Tidak Ada Ketua dalam PR. Lihatlah negeri Penang sekarang...papan-papan tanda sudah mula menyelitkan dan menggunakan Tulisan Mandarin. Di Klang pun sama, jika kita membawa kereta menuju ke Kg. Melayu Subang kita akan terpandang Papan Tanda 3 Bahasa... Tulisan Rumi Melayu, Tulisan Mandarin, Tulisan Tamil... Di mana Anwar dalam isu ini? Kenapa tiada Demonstrasi macam tahun 1970-an dulu atau sekurang-kurangnya bantahan kepada Ketua Menteri Penang Lim Guan Eng? Apakah Timbalan KM Penang, Fairuz takut bercakap kepada KM Penang?

3. Apakah Kedudukan Bahasa Melayu dalam Perlembagaan negara kita? Jika hari ini mereka boleh buat 30 tahun akan datang , bayangkan seluruh Papan Tanda di Penang dan Selangor dipenuhi Tulisan Mandarin? Bahasa Melayu adalah Bangsa Melayu. Menghina Bahasa Melayu bermakna menghina Bangsa Melayu.Namun inilah Perjuangan PKR yang dipimpin oleh Anwar...moto mereka Keadilan dan Kesamarataan. Jika Bahasa Melayu boleh ditulis di papan-papan tanda, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil pun mesti boleh juga...Lama-kelamaan akan lenyaplah bahasa Melayu macam bahasa Sanskrit dan lama-kelamaan bangsa Melayu juga akan lenyaplah juga.

4. Oleh itu, saya menegsyorkan UMNO, DBP, GPMS, dan semua yang cintakan bahasa Melayu supaya mengadakan Seminar/Simposium/Forum/Majlis Raja-Raja/DLL untuk mempertahankan Kedudukan dan Kedaulatan Bahasa Melayu di tanah air kita ini. Kalau bukan kita siapa lagi? Tidak perlu buat Demonstrasi macam Anwar buat tahun 1970-an dulu, lebih baik kita buat dengan cara berhemah, berdaulat, akademik,bijaksana, dsbnya.SELAMATKAN BAHASA MELAYU KERANA BAHASA MELAYU MELAMBANGKAN KEDAULATAN BANGSA MELAYU.

Adab Berbuka Puasa - Menurut Sunah Rasulullah S.A.W.

Disiarkan pada Aug 21, 2009 dalam kategori Ibadat

oleh: Dr Mohd Asri bin Zainal Abidin


ADAB-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan sunah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan kelebihan puasa.

Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:

“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Yang penting di dalam bulan Ramadan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadis:
Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi s.a.w., iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala.

Kata at-Tibi (meninggal 743H):

“Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.”
(at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).


Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar.

Di dalam hadis daripada Anas katanya:

“Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.”

(Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

Segalanya Kerana Niat

Disiarkan pada Aug 23, 2009 dalam kategori Akidah
Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin


Menjelang ramadhan setiap kita berusaha meningkatkan pembersihan jiwanya. Mendekatkan diri kepada Allah. Mengakui sesuatu yang benar itu benar sekalipun ia menyanggahi kepentingan dan kehendak diri kita. Mengakui yang salah itu salah, sekalipun kita sudah terbabit dengan yang salah tersebut.

Ini bukan sesuatu yang mudah, ia memerlukan kekentalan jiwa yang dibina di atas niat yang ikhlas dalam perjuangan hidup di atas muka bumi ini. Hidup yang berteraskan keyakinan bahawa setiap kita akan mengadap Allah s.w.t, dan Dia menghisab segala amalan baik dan buruk yang telah kita lakukan.

Perjalanan hidup insan sebenarnya mewakili apa yang tersirat dalam jantung hati, atau niatnya. Perbuatan yang dilakukan dengan rela dan pilihan sendiri adalah tafsiran kepada niat, kefahaman dan tujuan hidup seseorang insan. Tidak lebih daripada itu. Bahkan apa yang dirancang, keinginan, harapan yang akhirnya menjelma dalam bentuk tindakan, berpunca dari niat.

Justeru dalam hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a, beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.”

(Riwayat al-Bukhari).

Salah Faham:

Sebelum kita tersilap faham, niat bukanlah seperti yang dibayangkan oleh sesetengah pihak iaitu ucapan di lidah “sengaja aku berniat sekian dan sekian..”. Sama sekali tidak. Itu hanyalah ucapan lidah, belum tentu mewakili tujuan sebenar. Niat juga bukan perkataan yang di atur dalam minda yang menyebab ramai orang yang tidak faham berulang kali kononnya melafazkan ‘niat’, sehingga terganggu solat, puasa, iktikaf dan seumpamanya.


Niat adalah keazaman seseorangan untuk melakukan sesuatu tindakan. Dalamnya merangkumi segala yang tersirat di sebalik sesuatu perbuatan. Tepat bak kata tokoh ilmuwan terkenal al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):


“Niat ialah tujuan dan azam melakukan sesuatu. Tempatnya di hati. Tiada kaitan dengan lidah sama sekali. Justeru itu, tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w dan para sahabat sebarang lafaz bagi niat. Tidak pernah kita dengar hal ini dari mereka. Segala lafaz yang diada-adakan sebelum bersuci dan solat telah syaitan jadikannya medan memerangi golongan yang was-was. Syaitan memenjara dan mengazab mereka dengannya. Dia menjadikan mereka berusaha membetulkan lafaz-lafaz itu, sehingga anda lihat ada yang mengulang-ulang dan berhempas pulas dalam mengucapkannya. Padahal ia langsung tiada kaitan dengan solat. Sebaliknya niat itu ialah tujuan sesuatu perbuatan. Setiap yang berazam melakukan sesuatu, dia telah berniat. Tidak tergambar terpisahnya perbuatan dengan niat kerana perbuatan itu adalah hakikat niat. Tidak mungkin tiada niat sedangkan wujudnya perbuatan. Sesiapa yang duduk untuk berwuduk maka dia telah berniat hendak berwuduk. Sesiapa yang berdiri untuk bersolat maka dia telah berniat untuk bersolat. Tiada seorang yang berakal melakukan sesuatu ibadah atau selainnya tanpa niat. Niat merupakan perkara semestinya wujud bagi tindakan insan yang disengajakan. Tidak perlu bersusah payah dan berusaha mendapatkannya. Sekiranya seseorang ingin menghilangkan niat dari perbuatan pilihannya, nescaya dia tidak mampu. Jika Allah mewajibkan solat atau wuduk tanpa niat, maka Dia mewajibkan apa yang insan tidak mampu. Ia tidak termasuk di bawah keupayaan insan. Kalau begitu, mengapa bersusah payah untuk mendapatkan niat?. Sesungguhnya syak dalam memperolehi niat adalah sejenis penyakit gila. Sebab, pengetahuan seseorang tentang keadaan dirinya adalah sesuatu yang yakin. Bagaimana mungkin seorang yang berakal syak tentang niat dirinya. Seseorang yang berdiri belakang imam untuk menunaikan solat zohor; bagaimana mungkin dia syak mengenai tujuannya?! Jika seseorang memanggilnya untuk sesuatu urusan ketika itu, nescaya dia berkata: aku ada urusan, aku ingin solat zohor. Jika seseorang bertanya kepadanya ketika dia keluar menuju ke tempat solat: awak hendak ke mana? Nescaya dia berkata: aku hendak solat zohor bersama imam. Jadi, bagaimana mungkin seorang yang berakal ragu-ragu mengenai hal ini dalam dirinya sedangkan dia mengetahuinya secara yakin” (Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahfan min Masaid al-Syaitan, halaman 144).

LIRIK LAGU ( PERGI TAK KEMBALI )


USTAZ ASRI ( PERGI TAK KEMBALI )

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT, HARYATI KARIM dan FAIZAL SAHARUNI


"Suaranya benar-benar mempunyai aura dan merupakan anugerah Allah yang paling berharga" – RAMLI MS

PASTINYA lirik puitis penuh sentuhan rohani di sebelah cukup kuat untuk mengingatkan kita semua kepada figura bernama Mohd. Asri Ibrahim, vokalis dan juga ketua kumpulan nasyid terkemuka, Rabbani.

Benarlah, setiap insan pasti akan merasa saat perpisahan yang terakhir kerana pada tanggal 13 Ogos 2009 lalu (semalam), kira-kira seminggu sebelum Ramadan 1430 Hijrah menjelang tiba, seluruh jiwa yang mengenali Asri bagaikan terpana dipukul halilintar.

Suasana ceria, teruja dan gembira tiba-tiba bertukar menjadi kalut dan cemas, anak kepada Robiah Ehsan, 70, yang sedang berdiri hendak memulakan sesi latihan menjelang satu majlis pelancaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) rebah dan nazak. Setengah jam kemudian, berita pemergiaannya diketahui umum.

Perginya Asri tanpa pesan. Tanpa ucap selamat tinggal buat semua, kepada peminat yang sentiasa menyanjungi, sahabat seperjuangan mahupun buat keluarga tercinta.
Hanya lunak suaranya yang tinggal jadi kenangan dan lagu Pergi Tak Kembali seakan-akan mendayu-dayu, merintih dalam sendu dan tangis saat kerandanya di usung menuju ke persemadian terakhir di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam semalam.
ALLAHYARHAM Asri mengetuai kumpulan Rabbani sehingga berjaya menjadi kumpulan nasyid paling disegani dalam industri muzik tanah air.

Lagu yang ditulis sendiri oleh Allahyarham, Pergi Tak Kembali, itu cukup mengingatkan semua tentang kematian dan bekalan yang perlu dipersiapkan setiap makhluk bernama manusia.
Kata seorang teman Che Amran daripada kumpulan Raihan yang telah lama mengenali Asri : "Dalam hati saya, setiap kali mendengar berita kematian sesiapa sahaja termasuklah rakan-rakan, saya berkata, biarlah, itu takdir. Tapi saya selalu minta kepada Tuhan, janganlah orang berkenaan Ustaz Asri.

"Tapi panggilan Ilahi tidak mampu dilawan. Hari ini (semalam) Ustaz Asri dijemput Ilahi. Mulanya saya anggap berita yang diterima menerusi panggilan telefon sekadar gurauan.
"Dalam berdebar-debar, saya hubungi Azadan (anggota Rabbani) dan barulah saya tahu, benarlah Asri sudah tiada."

Bagi pencinta dan seluruh penggiat muzik nasyid di Malaysia, nama Asri muncul nombor satu sebagai tiang yang menjadi tunjang kekuatan. Dialah sumber inspirasi kepada mana-mana sahaja anak-anak muda yang mula ingin menginjak ke dunia nasyid.

"Bagi saya, Allahyarham adalah pahlawan sejati kepada perkembangan muzik nasyid kontemporari. Dialah pahlawan yang akan mengetuai gerakan kami.

"Dialah satu-satunya orang yang akan menjadi rujukan dan inspirasi penyanyi nasyid baru. Saya sendiri membesar dengan lagu-lagu dendangan Allahyarham sewaktu Allahyarham masih bersama Nada Murni lagi," tambah Che Amran yang ditemui di lobi Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Kuala Lumpur ketika menziarahi jenazah Asri.

Pemergian Allahyarham pada usia 40 tahun sungguh mengejutkan dan merupakan kehilangan besar kepada negara khususnya kepada bidang dakwah Islam menerusi seni.

Keunggulan anak ketujuh daripada 13 adik-beradik itu di mata pencinta muzik nasyid bukan hanya tertumpu kepada keindahan melodi dan kelunakan suaranya yang sukar ditemui persamaan dengan mana-mana penyanyi nasyid yang ada.

ALLAHYARHAM Asri menghabiskan hampir dua dekad hidupnya dalam muzik nasyid.
Sebaliknya pengetahuan agama yang tinggi dan pekerti Asri itu sendiri sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja pantas menyenangi kehadirannya.

Dua hari sebelum kematiannya, Allahyarham bersama ahli kumpulan Rabbani yang lain iaitu Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Loqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman sempat mengadakan satu sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama dengan Hotel Singgahsana, hotel yang tidak pernah mengenepikan nama Rabbani apabila tibanya Ramadan sejak 12 tahun lalu.

Seraya tersenyum, ini antara bait-bait terakhir yang dilafazkan Allahyarham ketika sesi sidang media itu berlangsung: "Orang kata, apabila tiba bulan puasa kalau boleh kurangkan bekerja dan banyakkan ibadah, tetapi bagi saya pula, kerja ini (membuat persembahan) merupakan ibadah kepada saya."

Kepada Ustaz Asri, semua perlakuan, perbuatan dan aktiviti seni yang diceburinya sejak bersama Nada Murni lagi merupakan satu ibadah. Lirik-lirik yang ditulis Allahyarham sendiri banyak berkisar tentang dakwah Islam yang mengajak umat agar kembali ke jalan Allah.

Sejarah awal:
Menyingkap sejarah awal pembabitan Allahyarham dalam dunia seni segalanya bermula pada tahun 1991 apabila Allahyarham mula berjinak-jinak dengan kumpulan nasyid Nada Murni dan semakin serius apabila tertubuhnya kumpulan Rabbani pada 1 Mac 1997.
Meskipun kemunculan kumpulan Rabbani di persada muzik tanah air dipandang enteng pada awalnya tetapi itu sedikit pun mematahkan semangatnya walaupun ketika itu nama Raihan sedang mewangi di kalangan peminat nasyid.

ALLAHYARHAM melayan peminat ciliknya dalam satu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri.
Rabbani mengejutkan banyak pihak apabila tampil bersama 13 ahli kumpulan dan menjadi satu-satunya kumpulan nasyid di Malaysia yang mempunyai anggota paling ramai.

Dalam soal keahlian dan tanggungjawab menjaga keutuhan kumpulan agar tidak berlaku onar yang meretakkan hubungan sesama ahli, Ustaz Asri sendiri pernah menjelaskan, keakraban dan setiakawan adalah kunci kekuatan mereka untuk bertahan sehingga kini.

Perkara itu diakui oleh komposer dan pengarah muzik terkenal Ramli MS. Katanya, apa yang menjadikan Asri satu nama besar dalam industri muzik nasyid adalah keunikan suaranya yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.

"Saya individu yang mendengar muzik setiap hari tetapi setiap kali mendengar nyanyian daripada Allahyarham, telinga saya bagaikan tertusuk sesuatu yang indah.
"Suaranya benar-benar mempunyai aura dan merupakan anugerah Allah yang paling berharga," ujar Ramli.

KUMPULAN Rabbani pernah berduet dengan penyanyi Amy Search (empat dari kanan) menerusi lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur.

Selama 12 tahun kumpulan Rabbani ditubuhkan, kumpulan nasyid yang dianggap pencabar terdekat kepada Raihan itu melalui banyak fasa termasuklah menyesuaikan muzik nasyid tradisional dengan elemen-elemen muzik dari luar negara.

Bermula daripada konsep nasyid klasik melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut cita rasa yang sesuai dengan era terkini.

Sehingga kini bersama Rabbani Allahyarham sudah menghasilkan 18 buah album. Bukan itu sahaja, keunggulan Asri dan Rabbani dibuktikan menerusi pelbagai pencapaian dan anugerah yang telah diraih. Ini termasuklah kemenangan demi kemenangan kumpulan Rabbani dalam Anugerah Industri Muzik.

SAAT manis ketika Allahyarham Asri bersama isteri, Halizah Shahzan dalam satu temu bual untuk ruangan Intuisi Cinta Kosmo!.
Seorang teman seperjuangan Allahyarham, penyanyi Yassin yang ditemui menyifatkan pemergian arwah satu kehilangan yang besar dalam industri muzik Malaysia.

"Ini kehilangan yang besar pada industri muzik sebab ramai orang yang membesar dengan lagu-lagu Rabbani. Saya sendiri terkejut sebab tidak tahu dia ada penyakit kronik kerana dua tiga hari sebelum ini saya baru jumpa arwah dan tidak nampak sebarang perubahan langsung.
"Arwah juga seorang yang baik. Tanyalah sesiapa sahaja, pasti tiada seorang pun yang tidak suka akan personalitinya," ujar Yassin sambil menitiskan air mata.

Sesungguhnya, apa yang tercatat menerusi penulisan ini tidak dapat menggambarkan keseluruhan riwayat hidup yang pernah dilalui oleh seorang hamba Allah, seorang lelaki, seorang penasyid, seorang penghibur, seorang pendakwah, seorang suami dan seorang ayah bernama Mohd. Asri Ibrahim.

ALLAHYARHAM bersama isteri dan anak tercinta (dari kiri) Sofiyah Munawarrah, Nor Afikah, Mohd. Ilham, Mohd. Fathi, Halizah Shahzan, Hamdi Rabbani dan Najmuddin.

Disahutnya panggilan Ilahi tanpa mengundang banyak keresahan keluarga, peminat dan rakan-rakan, Allahyarham Asri telah pergi meninggalkan semua dalam sekelip mata.

Sepantas itu nyawanya diambil semula oleh Sang Pencipta. Biarpun pemergiannya diratapi dan ditangisi, Asri pergi dan takkan kembali lagi.

Allahyarham yang meninggal dunia pagi semalam ada menulis dalam blognya asrirabbani@blogspot.com yang berbunyi: "Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat. Aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...."