Pengunjung Blog ini

Adakah Masa Itu Emas Lagi

Labels

Followers

Halwa Telinga

Tinggalkan Jejak Anda

Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x

Fish

My Hamster

Berita Harian Online

News Online

Adab Berbuka Puasa - Menurut Sunah Rasulullah S.A.W.

Disiarkan pada Aug 21, 2009 dalam kategori Ibadat

oleh: Dr Mohd Asri bin Zainal Abidin


ADAB-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan sunah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan kelebihan puasa.

Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:

“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Yang penting di dalam bulan Ramadan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadis:
Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi s.a.w., iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala.

Kata at-Tibi (meninggal 743H):

“Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.”
(at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).


Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar.

Di dalam hadis daripada Anas katanya:

“Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.”

(Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

Segalanya Kerana Niat

Disiarkan pada Aug 23, 2009 dalam kategori Akidah
Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin


Menjelang ramadhan setiap kita berusaha meningkatkan pembersihan jiwanya. Mendekatkan diri kepada Allah. Mengakui sesuatu yang benar itu benar sekalipun ia menyanggahi kepentingan dan kehendak diri kita. Mengakui yang salah itu salah, sekalipun kita sudah terbabit dengan yang salah tersebut.

Ini bukan sesuatu yang mudah, ia memerlukan kekentalan jiwa yang dibina di atas niat yang ikhlas dalam perjuangan hidup di atas muka bumi ini. Hidup yang berteraskan keyakinan bahawa setiap kita akan mengadap Allah s.w.t, dan Dia menghisab segala amalan baik dan buruk yang telah kita lakukan.

Perjalanan hidup insan sebenarnya mewakili apa yang tersirat dalam jantung hati, atau niatnya. Perbuatan yang dilakukan dengan rela dan pilihan sendiri adalah tafsiran kepada niat, kefahaman dan tujuan hidup seseorang insan. Tidak lebih daripada itu. Bahkan apa yang dirancang, keinginan, harapan yang akhirnya menjelma dalam bentuk tindakan, berpunca dari niat.

Justeru dalam hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a, beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.”

(Riwayat al-Bukhari).

Salah Faham:

Sebelum kita tersilap faham, niat bukanlah seperti yang dibayangkan oleh sesetengah pihak iaitu ucapan di lidah “sengaja aku berniat sekian dan sekian..”. Sama sekali tidak. Itu hanyalah ucapan lidah, belum tentu mewakili tujuan sebenar. Niat juga bukan perkataan yang di atur dalam minda yang menyebab ramai orang yang tidak faham berulang kali kononnya melafazkan ‘niat’, sehingga terganggu solat, puasa, iktikaf dan seumpamanya.


Niat adalah keazaman seseorangan untuk melakukan sesuatu tindakan. Dalamnya merangkumi segala yang tersirat di sebalik sesuatu perbuatan. Tepat bak kata tokoh ilmuwan terkenal al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):


“Niat ialah tujuan dan azam melakukan sesuatu. Tempatnya di hati. Tiada kaitan dengan lidah sama sekali. Justeru itu, tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w dan para sahabat sebarang lafaz bagi niat. Tidak pernah kita dengar hal ini dari mereka. Segala lafaz yang diada-adakan sebelum bersuci dan solat telah syaitan jadikannya medan memerangi golongan yang was-was. Syaitan memenjara dan mengazab mereka dengannya. Dia menjadikan mereka berusaha membetulkan lafaz-lafaz itu, sehingga anda lihat ada yang mengulang-ulang dan berhempas pulas dalam mengucapkannya. Padahal ia langsung tiada kaitan dengan solat. Sebaliknya niat itu ialah tujuan sesuatu perbuatan. Setiap yang berazam melakukan sesuatu, dia telah berniat. Tidak tergambar terpisahnya perbuatan dengan niat kerana perbuatan itu adalah hakikat niat. Tidak mungkin tiada niat sedangkan wujudnya perbuatan. Sesiapa yang duduk untuk berwuduk maka dia telah berniat hendak berwuduk. Sesiapa yang berdiri untuk bersolat maka dia telah berniat untuk bersolat. Tiada seorang yang berakal melakukan sesuatu ibadah atau selainnya tanpa niat. Niat merupakan perkara semestinya wujud bagi tindakan insan yang disengajakan. Tidak perlu bersusah payah dan berusaha mendapatkannya. Sekiranya seseorang ingin menghilangkan niat dari perbuatan pilihannya, nescaya dia tidak mampu. Jika Allah mewajibkan solat atau wuduk tanpa niat, maka Dia mewajibkan apa yang insan tidak mampu. Ia tidak termasuk di bawah keupayaan insan. Kalau begitu, mengapa bersusah payah untuk mendapatkan niat?. Sesungguhnya syak dalam memperolehi niat adalah sejenis penyakit gila. Sebab, pengetahuan seseorang tentang keadaan dirinya adalah sesuatu yang yakin. Bagaimana mungkin seorang yang berakal syak tentang niat dirinya. Seseorang yang berdiri belakang imam untuk menunaikan solat zohor; bagaimana mungkin dia syak mengenai tujuannya?! Jika seseorang memanggilnya untuk sesuatu urusan ketika itu, nescaya dia berkata: aku ada urusan, aku ingin solat zohor. Jika seseorang bertanya kepadanya ketika dia keluar menuju ke tempat solat: awak hendak ke mana? Nescaya dia berkata: aku hendak solat zohor bersama imam. Jadi, bagaimana mungkin seorang yang berakal ragu-ragu mengenai hal ini dalam dirinya sedangkan dia mengetahuinya secara yakin” (Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahfan min Masaid al-Syaitan, halaman 144).

LIRIK LAGU ( PERGI TAK KEMBALI )


USTAZ ASRI ( PERGI TAK KEMBALI )

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT, HARYATI KARIM dan FAIZAL SAHARUNI


"Suaranya benar-benar mempunyai aura dan merupakan anugerah Allah yang paling berharga" – RAMLI MS

PASTINYA lirik puitis penuh sentuhan rohani di sebelah cukup kuat untuk mengingatkan kita semua kepada figura bernama Mohd. Asri Ibrahim, vokalis dan juga ketua kumpulan nasyid terkemuka, Rabbani.

Benarlah, setiap insan pasti akan merasa saat perpisahan yang terakhir kerana pada tanggal 13 Ogos 2009 lalu (semalam), kira-kira seminggu sebelum Ramadan 1430 Hijrah menjelang tiba, seluruh jiwa yang mengenali Asri bagaikan terpana dipukul halilintar.

Suasana ceria, teruja dan gembira tiba-tiba bertukar menjadi kalut dan cemas, anak kepada Robiah Ehsan, 70, yang sedang berdiri hendak memulakan sesi latihan menjelang satu majlis pelancaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) rebah dan nazak. Setengah jam kemudian, berita pemergiaannya diketahui umum.

Perginya Asri tanpa pesan. Tanpa ucap selamat tinggal buat semua, kepada peminat yang sentiasa menyanjungi, sahabat seperjuangan mahupun buat keluarga tercinta.
Hanya lunak suaranya yang tinggal jadi kenangan dan lagu Pergi Tak Kembali seakan-akan mendayu-dayu, merintih dalam sendu dan tangis saat kerandanya di usung menuju ke persemadian terakhir di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam semalam.
ALLAHYARHAM Asri mengetuai kumpulan Rabbani sehingga berjaya menjadi kumpulan nasyid paling disegani dalam industri muzik tanah air.

Lagu yang ditulis sendiri oleh Allahyarham, Pergi Tak Kembali, itu cukup mengingatkan semua tentang kematian dan bekalan yang perlu dipersiapkan setiap makhluk bernama manusia.
Kata seorang teman Che Amran daripada kumpulan Raihan yang telah lama mengenali Asri : "Dalam hati saya, setiap kali mendengar berita kematian sesiapa sahaja termasuklah rakan-rakan, saya berkata, biarlah, itu takdir. Tapi saya selalu minta kepada Tuhan, janganlah orang berkenaan Ustaz Asri.

"Tapi panggilan Ilahi tidak mampu dilawan. Hari ini (semalam) Ustaz Asri dijemput Ilahi. Mulanya saya anggap berita yang diterima menerusi panggilan telefon sekadar gurauan.
"Dalam berdebar-debar, saya hubungi Azadan (anggota Rabbani) dan barulah saya tahu, benarlah Asri sudah tiada."

Bagi pencinta dan seluruh penggiat muzik nasyid di Malaysia, nama Asri muncul nombor satu sebagai tiang yang menjadi tunjang kekuatan. Dialah sumber inspirasi kepada mana-mana sahaja anak-anak muda yang mula ingin menginjak ke dunia nasyid.

"Bagi saya, Allahyarham adalah pahlawan sejati kepada perkembangan muzik nasyid kontemporari. Dialah pahlawan yang akan mengetuai gerakan kami.

"Dialah satu-satunya orang yang akan menjadi rujukan dan inspirasi penyanyi nasyid baru. Saya sendiri membesar dengan lagu-lagu dendangan Allahyarham sewaktu Allahyarham masih bersama Nada Murni lagi," tambah Che Amran yang ditemui di lobi Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Kuala Lumpur ketika menziarahi jenazah Asri.

Pemergian Allahyarham pada usia 40 tahun sungguh mengejutkan dan merupakan kehilangan besar kepada negara khususnya kepada bidang dakwah Islam menerusi seni.

Keunggulan anak ketujuh daripada 13 adik-beradik itu di mata pencinta muzik nasyid bukan hanya tertumpu kepada keindahan melodi dan kelunakan suaranya yang sukar ditemui persamaan dengan mana-mana penyanyi nasyid yang ada.

ALLAHYARHAM Asri menghabiskan hampir dua dekad hidupnya dalam muzik nasyid.
Sebaliknya pengetahuan agama yang tinggi dan pekerti Asri itu sendiri sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja pantas menyenangi kehadirannya.

Dua hari sebelum kematiannya, Allahyarham bersama ahli kumpulan Rabbani yang lain iaitu Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Loqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman sempat mengadakan satu sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama dengan Hotel Singgahsana, hotel yang tidak pernah mengenepikan nama Rabbani apabila tibanya Ramadan sejak 12 tahun lalu.

Seraya tersenyum, ini antara bait-bait terakhir yang dilafazkan Allahyarham ketika sesi sidang media itu berlangsung: "Orang kata, apabila tiba bulan puasa kalau boleh kurangkan bekerja dan banyakkan ibadah, tetapi bagi saya pula, kerja ini (membuat persembahan) merupakan ibadah kepada saya."

Kepada Ustaz Asri, semua perlakuan, perbuatan dan aktiviti seni yang diceburinya sejak bersama Nada Murni lagi merupakan satu ibadah. Lirik-lirik yang ditulis Allahyarham sendiri banyak berkisar tentang dakwah Islam yang mengajak umat agar kembali ke jalan Allah.

Sejarah awal:
Menyingkap sejarah awal pembabitan Allahyarham dalam dunia seni segalanya bermula pada tahun 1991 apabila Allahyarham mula berjinak-jinak dengan kumpulan nasyid Nada Murni dan semakin serius apabila tertubuhnya kumpulan Rabbani pada 1 Mac 1997.
Meskipun kemunculan kumpulan Rabbani di persada muzik tanah air dipandang enteng pada awalnya tetapi itu sedikit pun mematahkan semangatnya walaupun ketika itu nama Raihan sedang mewangi di kalangan peminat nasyid.

ALLAHYARHAM melayan peminat ciliknya dalam satu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri.
Rabbani mengejutkan banyak pihak apabila tampil bersama 13 ahli kumpulan dan menjadi satu-satunya kumpulan nasyid di Malaysia yang mempunyai anggota paling ramai.

Dalam soal keahlian dan tanggungjawab menjaga keutuhan kumpulan agar tidak berlaku onar yang meretakkan hubungan sesama ahli, Ustaz Asri sendiri pernah menjelaskan, keakraban dan setiakawan adalah kunci kekuatan mereka untuk bertahan sehingga kini.

Perkara itu diakui oleh komposer dan pengarah muzik terkenal Ramli MS. Katanya, apa yang menjadikan Asri satu nama besar dalam industri muzik nasyid adalah keunikan suaranya yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.

"Saya individu yang mendengar muzik setiap hari tetapi setiap kali mendengar nyanyian daripada Allahyarham, telinga saya bagaikan tertusuk sesuatu yang indah.
"Suaranya benar-benar mempunyai aura dan merupakan anugerah Allah yang paling berharga," ujar Ramli.

KUMPULAN Rabbani pernah berduet dengan penyanyi Amy Search (empat dari kanan) menerusi lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur.

Selama 12 tahun kumpulan Rabbani ditubuhkan, kumpulan nasyid yang dianggap pencabar terdekat kepada Raihan itu melalui banyak fasa termasuklah menyesuaikan muzik nasyid tradisional dengan elemen-elemen muzik dari luar negara.

Bermula daripada konsep nasyid klasik melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut cita rasa yang sesuai dengan era terkini.

Sehingga kini bersama Rabbani Allahyarham sudah menghasilkan 18 buah album. Bukan itu sahaja, keunggulan Asri dan Rabbani dibuktikan menerusi pelbagai pencapaian dan anugerah yang telah diraih. Ini termasuklah kemenangan demi kemenangan kumpulan Rabbani dalam Anugerah Industri Muzik.

SAAT manis ketika Allahyarham Asri bersama isteri, Halizah Shahzan dalam satu temu bual untuk ruangan Intuisi Cinta Kosmo!.
Seorang teman seperjuangan Allahyarham, penyanyi Yassin yang ditemui menyifatkan pemergian arwah satu kehilangan yang besar dalam industri muzik Malaysia.

"Ini kehilangan yang besar pada industri muzik sebab ramai orang yang membesar dengan lagu-lagu Rabbani. Saya sendiri terkejut sebab tidak tahu dia ada penyakit kronik kerana dua tiga hari sebelum ini saya baru jumpa arwah dan tidak nampak sebarang perubahan langsung.
"Arwah juga seorang yang baik. Tanyalah sesiapa sahaja, pasti tiada seorang pun yang tidak suka akan personalitinya," ujar Yassin sambil menitiskan air mata.

Sesungguhnya, apa yang tercatat menerusi penulisan ini tidak dapat menggambarkan keseluruhan riwayat hidup yang pernah dilalui oleh seorang hamba Allah, seorang lelaki, seorang penasyid, seorang penghibur, seorang pendakwah, seorang suami dan seorang ayah bernama Mohd. Asri Ibrahim.

ALLAHYARHAM bersama isteri dan anak tercinta (dari kiri) Sofiyah Munawarrah, Nor Afikah, Mohd. Ilham, Mohd. Fathi, Halizah Shahzan, Hamdi Rabbani dan Najmuddin.

Disahutnya panggilan Ilahi tanpa mengundang banyak keresahan keluarga, peminat dan rakan-rakan, Allahyarham Asri telah pergi meninggalkan semua dalam sekelip mata.

Sepantas itu nyawanya diambil semula oleh Sang Pencipta. Biarpun pemergiannya diratapi dan ditangisi, Asri pergi dan takkan kembali lagi.

Allahyarham yang meninggal dunia pagi semalam ada menulis dalam blognya asrirabbani@blogspot.com yang berbunyi: "Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat. Aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...."

Bahasa Melayu Mati, Bangsa Melayu Terkubur!

PROF DR IR WAN ABU BAKAR: Bahasa Melayu patut diberikan peluang untuk berkembang sebagai ilmu terutama ilmu sains dan teknologi. Seandainya kita tidak menggunakan lagi bahasa Melayu untuk menguasai atau belajar, maka ilmu bahasa Melayu itu akan terbantut perkembangannya. Saya rasa suatu hari nanti bahasa Melayu akan ketinggalan dibandingkan dengan perkembangan ilmu. Ini sekali gus akan membunuh bahasa Melayu itu sendiri. PPSMI ada orang anggap ia penting tetapi budak-budak yang diberi peluang untuk menerima ilmu ini dengan baik sepatutnya dilakukan dalam bahasa yang mereka fahami.

BAHASA MELAYU TELAH DIGONDOL

Kuala Lumpur, Malaysia- Bahasa Melayu bukan setakat digunakan sebagai tali perhubungan dalam komunikasi seharian, tetapi ia juga menggambarkan akar umbi masyarakat Melayu daripada segi adat-istiadat, dan sosio serta budaya kehidupan mereka.

Justeru, bahasa ibunda amat penting bagi meneruskan kelangsungan bangsa Melayu seperti juga ketamadunan bangsa-bangsa lain di dunia yang turut mempunyai bahasa peninggalan warisan nenek moyang masing-masing.

Menurut mantan Ketua Umum Lembaga Adat Melayu Riau, Indonesia, Dr. Tenas Effendy, bangsa Melayu akan pupus jika tiada usaha dilakukan bagi mempertahankan bahasa itu yang kini semakin dipinggirkan dalam banyak aspek.

“Bangsa Melayu mungkin akan pupus suatu masa nanti. Tragedi itu akan berlaku apabila pada ketika itu, kita sudah tidak menghiraukan lagi tentang bahasa Melayu. Kalau pupus bahasa Melayu, maka akan pupuslah juga bangsa Melayu.

“Pada ketika itu juga, maka akan terjadilah suatu malapetaka yang dasyat ke atas bangsa Melayu,” katanya pada syarahan Raja Ali Haji 2008 di Dewan Seminar, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau yang juga Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya berkata, skenario itu dapat dilihat apabila bahasa Melayu kini semakin dipinggirkan penggunaannya selain banyak pencemaran di dalamnya.

Jelasnya, pengabaian terhadap pemartabatan bahasa Melayu akan menyebabkan bangsa ini kehilangan arah hidup yang berasaskan ilmu, ketamadunan dan kesopanan yang telah dibina oleh nenek moyang mereka sejak sekian lama.

Mungkin petikan kata-kata orang tua-tua dahulu seperti berikut mampu untuk menggambarkan tentang simptom yang akan dilalui oleh bangsa Melayu sebelum mereka merasai tragedi tersebut yang bakal menimpa pada masa depan:

Tanda orang lupakan diri, tidak ingat lagi bahasa sendiriTanda orang tidak amanah, bahasa sendiri dipandang rendah.Tanda orang bodoh dan bebal, ke bahasa sendiri dia tidak kenalTanda orang bebal dan dungu, berbahasa sendiri ianya maluApa tanda orang yang dungu, ke bahasa sendiri dia tidak tahuApa tanda orang yang malang, bahasa sendiri ianya buang

Pada syarahan beliau yang bertajuk "Kearifan Orang Melayu Berbahasa" itu, Dr. Tenas banyak memberi contoh tentang betapa perlunya pengukuhan bahasa Melayu diperkasakan dari semasa ke semasa di kalangan generasi baru.

Kata tokoh bahasa berusia 72 tahun ini, bahasa Melayu bukan sahaja sebagai saluran berkomunikasi tetapi ia juga memperlihatkan terlalu banyak bukti kesopanan dan kecerdikan bangsa Melayu dalam berbahasa.

Jelas anak kelahiran Dusun Tanjung Malim, Desa Kuala Panduk, Pelalawan, Indonesia ini, perkara itu dapat dilihat menerusi pelbagai kata-kata peninggalan orang tua dahulukala termasuklah pantun dan syair.

Sebagai contohnya, terdapat perkara yang berkaitan pantangan berbahasa - kasar langgar yang maksudnya dalam setiap ucapan atau perkataan hendaklah dilakukan dengan cara yang baik serta memakai bahasa yang halus.

Siapa bercakap kasar langgar, malangnya banyak celakanya besarSiapa berkara kasar langgar, budinya rendah imannya longgarTanda orang tidak berbudi, bercakap suka tinggi meninggiTanda orang berhati keji, bual selangit cakap meninggiTanda orang buruk pekerti, bercakap selalu membuang budiTanda orang tak berharga diri, bercakap dengan membuang budi

Syarahan Raja Ali Haji itu merupakan kali ke-16 dianjurkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia sejak 1991 dengan kerjasama DBP sebagai salah satu cara untuk meneruskan perjuangan Raja Ali Haji yang terkenal sebagai tokoh agama dan budaya.

Selain itu, nama Syarahan Raja Ali Haji dipilih kerana menghormati beliau sebagai cendekiawan Melayu silam yang juga banyak sumbangannya terhadap bidang bahasa, persuratan, bahasa dan persejarahan alam Melayu.

Raja Ali Haji yang dilahirkan pada 1809 dan meninggal dunia pada 1870 merupakan anak kelahiran Pulau Penyengat, Kepulauan Riau, Indonesia dianggap sebagai ‘pencatat sejarah Nusantara yang pertama‘ kerana ketokohannya itu.

Sementara itu, Dr. Tenas turut menyeru semua pihak terutamanya kerajaan agar memandang serius pencemaran bahasa yang semakin banyak berlaku dalam bidang penulisan, filem, bahasa rojak dan sebagainya yang harus ditangani.

Antara yang hadir pada syarahan yang disaksikan lebih 300 peserta itu ialah Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Prof. dr. Nor Hashimah Jalaluddin dan Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Melayu, DBP, Rusli Abd. Ghani. (Oleh ABD. AZIZ ITAR, aziz.itar@utusan.com.my)

Sumber : www.utusan.com.my (13 Oktober 2008) (dengan penambahan hyperlink dari MelayuOnline.com)

ISU-ISU BAHASA

PAPAN TANDA INI MENUNJUKAN PENCEMARAN BAHASA

PERCAMPURAN KOD,..ADAKAH PERKARA SEPERTI INI SEHARUSNYA BERLAKU....


"UTAMAKAN BAHASA MELAYU"






"BAHASA MENUNJUKKAN BANGSA" (P.Ramlee, petikan filem Seniman Bujang Lapok)





APA CER BAHASA MELAYU?

"Bahasa Jiwa Bangsa". Rangkai kata yang tidak asing untuk kebanyakan rakyat Malaysia. Rangkai kata ini cukup mudah, tetapi isi yang tersirat disebalik tiga perkataan ini mampu membangkitkan sifat patriotisma yang tidak ada nilainya dikalangan rakyat Malaysia.Sejak kebelakangan ini, Bahasa Melayu-jiwa bangsa Malaysia. Semakin tercemar dengan kata-kata pinjaman daripada bahasa-bahasa asing terutamanya bahasa inggeris. Artikel-artikel dalam majalah, dan rancangan-rancangan yang disiarkan dalam televisyen tidak henti-henti menggunakan bahasa melayu yang tercemar dengan kata-kata pinjaman dari bahasa inggeris. Rangkap kata seperti "Saya cinta you" dan "I memang sayang akan you" digunakan dengan meluas oleh drama drama melayu dan penggunaannya telahpun tersebar ke setiap rakyat yang menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa utama merreka(cuma orang melayu sahaja!!).

Memang tidak dapat kita nafikan yang setiap bahasa dalam dunia ini perlu menggunakan kata-kata pinjaman untuk bahasa mereka. Sebagai contoh, di Australia, kata-kata seperti "bok choy" dan "dim sim" digunakan dengan meluas. Satu lagi contoh ialah artikel ini.

Dalam dua perenggan ini sahaja, pelbagai kata pinjaman telahpun digunakan. Masalah dengan penggunaan kata pinjaman ialah, penggunaan yang berlebihan sehingga ciri-ciri bahasa melayu hilang entah kemana. Masalah penggunaan kata-kata pinjaman ini begitu meluas hingga hampir setiap perkataan inggeris yang biasa digunakan telah pun diambil sebagai kata pinjaman dalam Bahasa Melayu.

KEMANDULAN BAHASA MELAYU?

Tulisan ringkas ini adalah sambungan tentang pencemaran bahasa Melayu. Isu pencemaran bahasa Melayu nampaknya tiada jalan kesudahannya dan pastinya ada. Bahasa Melayu hanya gah tertera dalam Perlembagaan Persekutuan. Praktisnya jauh menyimpang sama ada dalam penulisan atau percakapan atau bahasa teknologi terkini. Bahasa Melayu semakin tercemar dan tercemar. Keadaan ini sukar untuk dipulihkan tanpa ada usaha yang aktif dari pihak berkuasa, pengguna bahasa Melayu dan orang Melayu sendiri. Jangan harapkan orang atau bangsa lain memurnikan bahasa Melayu. Mereka pun berdepan dengan isu-isu berkaitan bahasa ibundanya.
Sedang isu pencemaran bahasa Melayu yang tidak/ kurang dipedulikan oleh pihak berkuasa, ditambah parah pula isu peminggiran bahasa Melayu dalam dunia akademik dan intelektual, semakin diperlekehkan pula orang Melayu sendiri akan kemandulan bahasa Melayu. Kata ‘kemandulan’ bermaksud perihal mandul atau tidak dapat melahirkan anak. Dalam hal ini, pasangan yang berkahwin tidak memperolehi zuriat kerana ada masalah atau kompilasi yang dialami oleh sama ada si suami atau si lelaki.

Bila dikaitkan dengan kemandulan bahasa Melayu, bermaksud bahasa Melayu tidak berkembang, dan mundur lantaran tindakan institusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dikatakan lemah zahir batinnya dalam menangani isu bahasa dan sastera Melayu. Kamus Dewan dijadikan sasaran kerana tidak dikemas kini entri/ kosa kata terbaru dalam pelbagai bidang ilmu. Kamus itu yang pertama kali diterbitkan pada 1970, sudah memasuki edisi keempat (2005), dengan kata masukan baru melebihi 80,000 kata/ entri/ subentri, dikatan sebagai kamus rojak kerana memasukkan kosa kata bahasa pasar, dan bahasa Inggeris. Dalam hal ini, bukanlah dapat dikatakan bahawa bahasa Melayu mandul.

DBP telah memainkan peranannya sebagai institusi yang memperkembangkan dan memajukan bahasa dan sastera Melayu. Hal ini dapatlah dibuktikan dengan menerbitkan kamus/ glosari istilah pelbagai bidang ilmu dalam bahasa Melayu melalui kerjasama Majlis Bahasa Brunei, Indonesia, dan Malaysia (MABBIM). Namun, kita merasa dukacita bila segala usaha DBP dan Institut Terjemahan Negara, tidak dihargai. Apa yang berlaku ialah segala istilah bidang dan terjemahan buku ilmiah menjadi koleksi di perpustakaan institusi. Buku-buku itu tidak digunakan sebagai rujukan kerana ilmu sains, matematik dan teknologi diajar dalam bahasa Inggeris. Maka usaha DBP dan institusi lain hanyalah sia-sia.

Siapa yang menggelapkan dan mencemarkan bahasa Melayu? Orang Melayu, dan para pemimpin Melayu yang melakukan semua itu. Pemimpin Melayu bila bercakap kepada media, dan disiarkan percakapannya dengan bangganya menggunakan bahasa Melayu rojak atau pasar, bercampur aduk dengan bahasa Inggeris. Ada segelintir pemimpin Melayu yang bercakap dalam bahasa Inggeris meskipun khalayaknya rakyat Malaysia yang boleh faham bahasa Melayu. Dalam krisis yang melanda orang Melayu, dalam pelbagai aspek kehidupan, yang rugi dan menerima bahananya ialah orang Melayu. Janganlah kita menuding jari kepada orang atau bangsa lain dalam hal ini. Adakah semua yang "berdosa" kerana telah menodai bahasa Melayu?

BAHASA JIWA BANGSA

www.iLuvislam.com
bulong kahareditor : everjihad

Dalam penulisan ini, saya lontarkan kepada para pembaca tentang pencemaran bahasa kita iaitu Bahasa Melayu. Bahasa ibunda kita ini tidak dicemari oleh bangsa lain tetapi yang malangnya dicemari, dicacati, dirobek, diporakkan dan banyak lagi kerenah dilakukan oleh bangsa sendiri.
Saban masa dan ketika, kita melihat bahasa ibunda ini seperti dipermain-mainkan dalam penulisan sehingga apa yang saya lihat ianya bukan lagi menjadi bahasa rasmi tetapi bahasa kolokial yang begitu jelek dilihat. Perkara ini, bukanlah satu polemik tetapi sudah dimaktubkan, namun begitu ketetapan tersebut cuba dipolemikkan sehingga pada hari ini. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan bahasa ibunda dalam petuturan dan lebih-lebih lagi dalam penulisan.

Pada hari ini begitu banyak berlaku pencemaran bahasa kita sendiri yang melibatkan penulisan. Apabila dilihat melalui penulisan-penulisan dalam khidmat pesanan ringkas, memo, e-mail dan banyak lagi medium penulisan yang berbentuk tidak formal, orang kita suka merosakkan bahasa sendiri sehingga menimbulkan kekeliruan dalam konteks pemahaman. Kita tidak berani membuat kerenah terhadap bahasa Al-quran dengan cuba ditulis dalam bentuk apa yang kita lakukan seperti mana bahasa ibunda kita, kita sudah maklum apa yang bakal kita perolehi jika kita melakukannya. Tetapi mengapa kita sewenang-wenangnya memperlakukan bahasa ibunda kita sedemikian rupa sehingga mencacatkannya dan menjadi caca merba yang penuh dengan kekeliruan.

Ingatlah bahasa jiwa bangsa, bahasa berkait dengan budi bahasa, bahasa melambangkan bangsa. Namun begitu tidak salah jika kita menulis dan bertutur dengan loghat daerah yang kita wakili, kerana ia merupakan bahasa rasmi dalam satu-satu daerah dan boleh diterima pakai.
Sebenarnya menjadi satu kesalahan jika kita menulis `sy’, `tp’, `bgm’, `btt’, `xpe’ dan entah apa-apa lagi dan yang jelas melambangkan satu usaha tidak langsung mencacatkan bahasa sendiri. Kita akan terbawa-bawa dengan apa yang kita laku pada masa kini yang mungkin akan menjadi tabiat yang tidak wajar diamalkan dalam kehidupan. Tambahan pula kita sebagai Islam, menggunakan bahasa untuk menyampaikan dakwah kepada yang perlu dipimpin merupakan medium utama, bagaimana boleh berjaya jika kita berjongkang-jongkit dalam berbahasa. Kita memerlukan bahasa yang indah dan penulisan yang jelas, pada saya bahasa Melayu cukup indah jika dikaji dan dilihat dari aspek estetikanya.

Ini jelas seperti mana yang ditulis oleh Tun Seri Lanang dengan Kitab Silaltus Salatin (Sejarah Melayu). Jika kita membacanya, terasa keindahan dan kesenian penulisan selain dapat mengetahui budaya hidup bangsa sendiri. Ingatlah Assyahid Syed Qutb, menulis `Fi Zillalilquran’, betapa indahnya bahasa yang digunakan, sehingga apabila kita mentelaahnya boleh mengalir air mata. Begitu dalam dan bermaknanya, ulasan beliau dengan penggunaan bahasa yang cukup sempurna menyentuh kalbu dan membuka pemikiran yang jelas tentang kebesaran Allah. Inilah peranan bahasa dan sayangilah bahasa kita, jangan kita memandang remeh kerana ingin mudah dan cepat. Akhirnya tanpa disedari kita menggadaikan maruah bahasa, terus sepi dan tidak bermakna lagi. Apa yang pahit janganlah terus dibuang dan yang manis janganlah terus ditelan,.

Cubalah sahabat-sahabat fikirkan.

Wallahualam.

DILEMA BAHASA MELAYU

Saturday,
May 3rd, 2008

Dalam sistem hidup manusia, bahasa berperanan sebagai pengawal kepada proses ketamadunan. Ibnu Khaldun dalam ‘Mukaddimah’ menyatakan bahawa sesebuah negara wujud akibat daripada wujudnya bahasa dan budaya dalam proses pembinaan tamadun dan peradaban manusia.
Sesuatu bangsa itu tidak teguh jika tidak dipertahankan bahasa dan budayanya. Kedua-duanya merupakan agen utama perpaduan di antara sesuatu bangsa. Dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada beberapa kaum utama ini, sebagai langkah memastikan masyarakat pelbagai kaum di negara ini bersatu padu, adanya bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan adalah sangat penting.
Perlembagaan Persekutuan Malaysia melalui Perkara 152 (1) memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen. Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 pula menghendaki bahasa kebangsaan digunakan untuk maksud rasmi.
Bahasa Melayu merupakan bahasa kebanggaan bangsa Melayu sejak zaman-berzaman. Begitulah sepatutnya. Keagungannya tidak dapat disangkal seawal abad pertama Masihi lagi apabila ia menjadi bahasa ekonomi yang pada ketika itu disebut sebagai ‘bahasa pasar’ kerana sifatnya sebagai ‘lingua franca’ ekonomi perdagangan dan sosial di bumi Nusantara. Pada ketika itu, tidak kiralah dari hemisfera sebelah mana, asal sahaja berhajat untuk meluaskan jalan dagangan, wajib mempelajari Bahasa Melayu.
Bukan sahaja sebagai bahasa ekonomi, Bahasa Melayu turut menjadi bahasa ilmu yang unggul sejak tahun 673 Sebelum Masihi di mana Pendeta I Tsing yang ingin mempelajari agama Buddha telah menuntut di Sriwijaya dan perlu mempelajari Bahasa Melayu untuk tujuan itu.
Itu semua sejarah. Masa-masa lalu yang pernah dibangga-banggakan sebelum ini. Kini, Bahasa Melayu seakan ‘melayu’ di bumi sendiri. Pelbagai langkah telah diambil untuk mengembalikan semula keagungannya, namun tidak kurang juga langkah-langkah yang ‘tersilap langkah’ seakan merendahkannya pula. Bahasa Melayu yang dahulunya dipandang sebagai ‘lingua franca’ dunia perdagangan dan ilmu, kini dikelaskan sebagai ‘bahasa kampungan’ yang tidak mampu membawa pengamalnya ke arah kemajuan.
Bertitik-tolak dari ini, keagungan bahasa Melayu terus merudum dan dipandang sepi. Bahasa ilmu dan perdagangan atau kini disebut sebagai bahasa kemajuan dirampas oleh bahasa Inggeris akibat daripada suatu peralihan pesat yang dipanggil globalisasi. Lebih mendukacitakan, wujud pula satu golongan yang digelar ‘Inggerisofili’ yang muncul dengan nostalgia mereka yang amat tebal terhadap bahasa Inggeris; budaya ‘pelacuran’ bahasa wujud dan berleluasa tanpa sebarang sekatan.
Di kalangan golongan elit Malaysia juga telah timbul satu perasaan kecurigaan tentang kemampuan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa penghantar ilmu sains dan teknologi. Selain itu penggunaan bahasa Inggeris yang memang berleluasa dalam sektor swasta juga tidak pernah tergugat atau digugat (Hashim Musa 1996).
Satu lagi titik besar yang merubah martabat dan kedudukan bahasa Melayu adalah Akta Pendidikan 1996, tafsiran Seksyen 2 yang menerangkan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah dijadikan bahasa penghantar di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Walau bagaimanapun, menurut Seksyen 17(1) Menteri ada kuasa mengecualikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di mana-mana institusi pendidikan lain.
Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Malaysia memperuntukkan iaitu dengan syarat bahawa tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud, lain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain.
Nik Safiah Karim (1984) pernah mengatakan bahawa pencapaian taraf keintelektualan bahasa Melayu akan menjadi lebih nyata apabila bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmiah. Namun, dengan pengecualian ini, wujudlah idea pembelajaran ilmu sains dan metametik dalam bahasa Inggeris sebagai syarat kononnya bagi mempersiapkan generasi pelapis negara dengan ilmu kemajuan; menerusi bahasa yang dipanggil ‘bahasa kemajuan’.
Terbaru, tiga langkah utama yang dirangkum daripada 13 syor telah ditetapkan bagi memperkasakan bahasa Melayu iaitu meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mengiktiraf peranan Jawatankuasa Induk Memperkasa Bahasa Kebangsaan (JKIMBK) dan usaha merancakkan industri buku kebangsaan.
Enam jawatankuasa dibentuk bagi melaksanakan program dan tindakan daripada 13 syor tersebut yang terdiri daripada Jawatankuasa Dasar Buku Negara, Jawatankuasa Dasar Bahasa dan Garis Panduan Pelaksanaan, Jawatankuasa Kerja Media Massa dan Jawatankuasa Penggalakkan /Pemupukan dan Kegiatan, Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam dan Jawatankuasa Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta.
Tidak cukup dengan itu, Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sebagai berkata Kabinet telah bersetuju untuk memberi kuasa kepada DBP mendenda pencemar bahasa di negara ini. Denda RM1,000 itu akan dilaksanakan apabila Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 dipinda dan diluluskan Parlimen yang akan menyambung persidangan selepas Hari Raya ini. Namun, tumpuan hanya pada papan iklan dan notis awam.
Satu Khidmat Nasihat Bahasa untuk orang ramai dibuka bagi merujuk penggunaan bahasa yang betul untuk mengelakkan pencemaran bahasa kebangsaan (penulis lebih setuju jika dirujuk sebagai bahasa Melayu) terhadap paparan di tempat umum yang dibuat oleh pihak berkenaan. Kaedah pemantauan yang digunapakai oleh pihak DBP adalah dengan menggunakan jaringan kerja sedia ada yang terdiri daripada 159 munsyi bahasa (guru atau penulis yang berdaftar dengan DBP) di seluruh negara untuk melaporkan sebarang paparan awam yang mencemar bahasa.
Langkah-langkah ini diambil mungkin kerana sudah timbul kesedaran akibat daripada pengamatan sejarah lampau ataupun pengamatan ke arah hemisfera yang tidak luntur kecintaan pada bahasa natifnya, namun masih lagi mampu bergelar negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan Jerman mungkin. Kerana ini kita benar-benar bersyukur.
Perlu diperhalusi, bahasa Melayu telah menjalankan fungsinya sebagai bahasa perpaduan dengan amat baik dan berkesan sehingga dapat mewujudkan persefahaman di kalangan penduduk pelbagai etnik di negara ini. Faktor ini tidak harus dilupakan kerana dengan adanya perpaduan inilah, maka negara dapat dibangunkan dan dimajukan seperti yang ada sekarang ini.

PENCEMARAN BAHASA: SATU ILUSI

10 October 2006
Oleh NOORZIHAN MOHAMED YIN

Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Malaysia bahawa bahasa melayu adalah merupakan bahasa kebangsaan dan dengan memperuntukkan iaitu dengan syarat bahawa tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud, lain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain.

Nik Safiah Karim (1984) pernah mengatakan bahawa pencapaian taraf keintelektualan bahasa Melayu akan menjadi lebih nyata apabila bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmiah. Namun, dengan pengecualian ini, wujudlah idea pembelajaran ilmu sains dan metametik dalam bahasa Inggeris sebagai syarat kononnya bagi mempersiapkan generasi pelapis negara dengan ilmu kemajuan; menerusi bahasa yang dipanggil ‘bahasa kemajuan’.

Satu Khidmat Nasihat Bahasa untuk orang ramai dibuka bagi merujuk penggunaan bahasa yang betul untuk mengelakkan pencemaran bahasa kebangsaan (penulis lebih setuju jika dirujuk sebagai bahasa Melayu) terhadap paparan di tempat umum yang dibuat oleh pihak berkenaan. Kaedah pemantauan yang digunapakai oleh pihak DBP adalah dengan menggunakan jaringan kerja sedia ada yang terdiri daripada 159 munsyi bahasa (guru atau penulis yang berdaftar dengan DBP) di seluruh negara untuk melaporkan sebarang paparan awam yang mencemar bahasa.

Langkah-langkah ini diambil mungkin kerana sudah timbul kesedaran akibat daripada pengamatan sejarah lampau ataupun pengamatan ke arah hemisfera yang tidak luntur kecintaan pada bahasa natifnya, namun masih lagi mampu bergelar negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan Jerman mungkin. Kerana ini kita benar-benar bersyukur.

Perlu diperhalusi, bahasa Melayu telah menjalankan fungsinya sebagai bahasa perpaduan dengan amat baik dan berkesan sehingga dapat mewujudkan persefahaman di kalangan penduduk pelbagai etnik di negara ini. Faktor ini tidak harus dilupakan kerana dengan adanya perpaduan inilah, maka negara dapat dibangunkan dan dimajukan seperti yang ada sekarang ini.

Pencemaran Bahasa


ARKIB : 03/01/2005

Bahasa, Sastera - Tahun 2004 penuh getir


DALAM diam isu dan status bahasa Melayu menjadi salah satu topik yang sering diperkatakan sehingga menjadi tema utama kepada beberapa pertemuan.

Pertemuan Angin Timur Laut di Kuantan, Kongres Kebudayaan Rumpun Melayu 2004 dan Kongres Bahasa Utama telah memperkatakan secara kritis mengenai nasib dan hala taju bahasa yang berstatus kebangsaan itu pada tahun-tahun mendatang.

Itu tidak mengambil kira pertemuan atau seminar lain yang turut memperkatakan segala bentuk permasalahan dalam bahasa Melayu.

Lebih memburukkan beberapa isu nasional yang memperlihatkan sikap dan kesungguhan melihat bahasa yang menggambarkan citra penggunaan bahasa yang keliru dan mencemarkan imejnya.

Di sebalik usaha memartabatkan bahasa Melayu para pejuang dan pencintanya pula begitu mudah mendapat label sebagai chauvinis dan pelampau bahasa.

Namun dalam ketandusan gerakan dan perjuangan yang benar-benar mantap serta mendapat dorongan politik, sikap seperti ini merupakan pilihan yang ada dalam berdepan dengan situasi yang anarkis.

Tanpa kesungguhan daripada kelompok yang teguh semangat dan kecintaan, bahasa Melayu hanya menunggu saat kehancuran.

Sikap

Rempuhan pemodenan yang menjadi alasan untuk mengetepikan bahasa tidak dapat disangkal kerana sikap pengguna yang tidak prihatin dan bersikap ambil mudah.

Malah bahasa yang bersifat `separuh ular, separuh belut' menjadi santapan mulut dan dijaja untuk menjadi perkataan yang wajib dipakai sebagaimana infotainmen dan sure heboh.

Sebab itu kesan daripada pertemuan dan resolusi yang dikeluarkan memerlukan penegasan yang menuntut suatu tahap perjuangan agresif.

Sikap berlembut atau perjuangan pasif demi mengekal status organisasi dan kepentingan peribadi hanya akan menjerumuskan nasib bahasa dan budaya ke tahap kehancuran.

Kegagalan menegaskan resolusi Pertemuan Angin Timur Laut misalnya merupakan satu yang bertentangan dengan aspirasi pertemuan tersebut. Tentunya mendukacitakan apabila semangat pertemuan itu tidak membuahkan hasil dan sekadar menjadi kertas kerja atau cakap-cakap kosong.

Demikian juga resolusi Kongres Rumpun Melayu di Johor Bahru masih belum dapat dilihat keberkesanannya dalam mengekalkan bahasa dan budaya penduduk asal sebagai teras yang dijunjung.

Sikap selalu beralah dalam soal berhubung dengan budaya dan bahasa dilihat lebih merugikan. Tanpa meragukan perlu adanya sikap tolak-ansur, sikap beralah sebenarnya akan menghilang bisa dan kekuatan sendiri dan tidak memberikan faedah untuk jangka masa panjang.

Fenomena pencemaran bahasa yang berlaku sepanjang tahun menggambarkan sikap sebenar pengguna bahasa dan kesungguhan pihak yang diberi tanggungjawab seperti pihak-pihak berkuasa tempatan (pbt) menjalankan tugas. Malah khabar yang membenarkan pengiklan menggunakan bahasa yang disukainya pada papan-papan iklan menunjukkan sikap dan prejudis terhadap bahasa Melayu.

Membentuk sikap bukanlah usaha mudah, tetapi memerlukan masa yang panjang, dan pembentukan dan membaiki keadaan perlu dilakukan dengan segera.

Sikap peka, prihatin dan lekas bertindak memang dituntut pada ketika ini, namun kelekaan masyarakat masih menjadi masalah besar, kerana perjuangan bahasa dan budaya tidak pernah menjadi agenda atau perlu dipedulikan.

Teras

Pertubuhan bahasa, sastera dan budaya sewajarnya menjadi badan pendesak bukan atas nama menjadi golongan penentang, tetapi keperluan untuk melihat kelangsungan kepada jati dirinya sebagai teras kepada pembentukan sebuah negara bangsa.

Tidak jauh nasibnya dengan bahasa dan budaya, sastera Melayu juga mengalami masalah dan dilema serupa apabila berdepan dengan pelbagai kemelut.

Pelbagai usaha yang pernah dan sedang dilakukan tidak menjamin kelangsungan sastera Melayu, apabila penerimaannya dilihat semakin merosot.

Contoh paling klasik apabila sekolah-sekolah tidak mahu menawarkan mata pelajaran sastera di sekolah dengan alasan tidak menjaminkan masa depan. Jika adapun sekadar melepaskan batuk di tangga kerana seperti dikhaskan kepada pelajar yang diistilahkan `mata merah.'

Umum mengetahui sastera di sekolah tidak seperti matematik dan sains yang akan menjelaskan arah kerjaya pelajarnya yang cemerlang

Namun di negara-negara maju, karya-karya sastera menjadi bahan bacaan tetap para pelajar sehingga masyarakatnya begitu positif serta proaktif kepada sastera dan kesenian.

Secara umumnya sikap dan pemikiran masyarakat di negara terhadap sastera masih dianggap lemah dan skeptik sehingga menganggap sastera sebagai suatu yang eksklusif untuk orang sastera sahaja.

Membaiki masalah bahasa dan sastera adalah usaha membetulkan sikap, persepsi dan idealogi penutur dan khalayaknya, serta memahami bahawa kedua-duanya tidak hidup semata-mata dengan slogan yang muluk atau sekadar pada kertas-kertas kerja dan ilmiah.

Masalahnya perjuangan bahasa, sastera dan budaya hari ini kehilangan taring, atau pejuangnya tidak lebih daripada harimau kertas yang tua serta lusuh ditelan zaman.

sumber: Utusan Malaysia Online

Pembuka Bicara


Assalamualaikum
Blog ini dicipta untuk tujuan akademik
Diharapkan segala penulisan yang tercatat dalam blog ini
dapat dimanfaatkan bersama

Segala salah dan silap harap dimaafkan
Beri pandangan anda agar segala kekurangan dapat diperbaiki
terima kasih