Pengunjung Blog ini

Adakah Masa Itu Emas Lagi

Labels

Followers

Halwa Telinga

Tinggalkan Jejak Anda

Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x

Fish

My Hamster

Berita Harian Online

News Online

BAHASA MELAYU TELAH DIGONDOL

Kuala Lumpur, Malaysia- Bahasa Melayu bukan setakat digunakan sebagai tali perhubungan dalam komunikasi seharian, tetapi ia juga menggambarkan akar umbi masyarakat Melayu daripada segi adat-istiadat, dan sosio serta budaya kehidupan mereka.

Justeru, bahasa ibunda amat penting bagi meneruskan kelangsungan bangsa Melayu seperti juga ketamadunan bangsa-bangsa lain di dunia yang turut mempunyai bahasa peninggalan warisan nenek moyang masing-masing.

Menurut mantan Ketua Umum Lembaga Adat Melayu Riau, Indonesia, Dr. Tenas Effendy, bangsa Melayu akan pupus jika tiada usaha dilakukan bagi mempertahankan bahasa itu yang kini semakin dipinggirkan dalam banyak aspek.

“Bangsa Melayu mungkin akan pupus suatu masa nanti. Tragedi itu akan berlaku apabila pada ketika itu, kita sudah tidak menghiraukan lagi tentang bahasa Melayu. Kalau pupus bahasa Melayu, maka akan pupuslah juga bangsa Melayu.

“Pada ketika itu juga, maka akan terjadilah suatu malapetaka yang dasyat ke atas bangsa Melayu,” katanya pada syarahan Raja Ali Haji 2008 di Dewan Seminar, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau yang juga Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya berkata, skenario itu dapat dilihat apabila bahasa Melayu kini semakin dipinggirkan penggunaannya selain banyak pencemaran di dalamnya.

Jelasnya, pengabaian terhadap pemartabatan bahasa Melayu akan menyebabkan bangsa ini kehilangan arah hidup yang berasaskan ilmu, ketamadunan dan kesopanan yang telah dibina oleh nenek moyang mereka sejak sekian lama.

Mungkin petikan kata-kata orang tua-tua dahulu seperti berikut mampu untuk menggambarkan tentang simptom yang akan dilalui oleh bangsa Melayu sebelum mereka merasai tragedi tersebut yang bakal menimpa pada masa depan:

Tanda orang lupakan diri, tidak ingat lagi bahasa sendiriTanda orang tidak amanah, bahasa sendiri dipandang rendah.Tanda orang bodoh dan bebal, ke bahasa sendiri dia tidak kenalTanda orang bebal dan dungu, berbahasa sendiri ianya maluApa tanda orang yang dungu, ke bahasa sendiri dia tidak tahuApa tanda orang yang malang, bahasa sendiri ianya buang

Pada syarahan beliau yang bertajuk "Kearifan Orang Melayu Berbahasa" itu, Dr. Tenas banyak memberi contoh tentang betapa perlunya pengukuhan bahasa Melayu diperkasakan dari semasa ke semasa di kalangan generasi baru.

Kata tokoh bahasa berusia 72 tahun ini, bahasa Melayu bukan sahaja sebagai saluran berkomunikasi tetapi ia juga memperlihatkan terlalu banyak bukti kesopanan dan kecerdikan bangsa Melayu dalam berbahasa.

Jelas anak kelahiran Dusun Tanjung Malim, Desa Kuala Panduk, Pelalawan, Indonesia ini, perkara itu dapat dilihat menerusi pelbagai kata-kata peninggalan orang tua dahulukala termasuklah pantun dan syair.

Sebagai contohnya, terdapat perkara yang berkaitan pantangan berbahasa - kasar langgar yang maksudnya dalam setiap ucapan atau perkataan hendaklah dilakukan dengan cara yang baik serta memakai bahasa yang halus.

Siapa bercakap kasar langgar, malangnya banyak celakanya besarSiapa berkara kasar langgar, budinya rendah imannya longgarTanda orang tidak berbudi, bercakap suka tinggi meninggiTanda orang berhati keji, bual selangit cakap meninggiTanda orang buruk pekerti, bercakap selalu membuang budiTanda orang tak berharga diri, bercakap dengan membuang budi

Syarahan Raja Ali Haji itu merupakan kali ke-16 dianjurkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia sejak 1991 dengan kerjasama DBP sebagai salah satu cara untuk meneruskan perjuangan Raja Ali Haji yang terkenal sebagai tokoh agama dan budaya.

Selain itu, nama Syarahan Raja Ali Haji dipilih kerana menghormati beliau sebagai cendekiawan Melayu silam yang juga banyak sumbangannya terhadap bidang bahasa, persuratan, bahasa dan persejarahan alam Melayu.

Raja Ali Haji yang dilahirkan pada 1809 dan meninggal dunia pada 1870 merupakan anak kelahiran Pulau Penyengat, Kepulauan Riau, Indonesia dianggap sebagai ‘pencatat sejarah Nusantara yang pertama‘ kerana ketokohannya itu.

Sementara itu, Dr. Tenas turut menyeru semua pihak terutamanya kerajaan agar memandang serius pencemaran bahasa yang semakin banyak berlaku dalam bidang penulisan, filem, bahasa rojak dan sebagainya yang harus ditangani.

Antara yang hadir pada syarahan yang disaksikan lebih 300 peserta itu ialah Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Prof. dr. Nor Hashimah Jalaluddin dan Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Melayu, DBP, Rusli Abd. Ghani. (Oleh ABD. AZIZ ITAR, aziz.itar@utusan.com.my)

Sumber : www.utusan.com.my (13 Oktober 2008) (dengan penambahan hyperlink dari MelayuOnline.com)

0 Anda Menulis & Saya Membalas: